Saturday, June 25, 2016

Najib, Hadi dan Dr Mahathir

PRU14 Mohd Najib Abd Razak dan regimnya akan kekal berkuasa. Asasnya (sekiranya ini dibiarkan berlaku):

1. Bukan rahsia RUU355 adalah senjata regim mendapatkan kerjasama PAS menyokong usaha persempadanan semula kawasan pilihanraya. Khutbah Jumaat dan tazqirah Ramadhan masjid dan mursalla di seluruh Malaysia baik di negeri dikuasai regim mahupon Pakatan Harapan mula menekankan keperluan menyokong pemerkasaan Mahkamah Syariah dan RUU Persendirian Haji Abd Hadi Awang. Bagi yang peka segera sedar tujuan utama teks khutbah dan tazqirah tersebut bukanlah pemerkasaan Syariah sebaliknya pemaksaan agenda permusuhan.

Jarum 'penyatuan ummah' diguna secara halus untuk meningkatkan kebencian Melayu terhadap 'penentang' pindaan Akta 355. Ia tidak lain ditujukan kepada pemimpin DAP dan parti-parti yang bekerjasama dengannya (Amanah dan PKR) ketika terang-terangan parti-parti kafir dan separa kafir dalam BN lebih awal dan lantang menentang pemerkasaan Undang-Undang Syariah.

Malapportionment dan gerrymandering terbukti sentiasa memenangkan regim. 1 kerusi Parlimen Seputeh bersamaan 7 kerusi Parlimen Putrajaya. Ini bermaksud calon PH di Seputeh perlu bekerja 7 kali lebih kuat meraih sokongan untuk merebut satu kerusi di Dewan Rakyat berbanding calon regim di Putrajaya. Calon regim pula cuma perlu mengeluarkan 1/7 dedak untuk menang di Putrajaya berbanding di Seputeh. Tidak hairanlah regim memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi seumpamanya. Selain itu kerusi baharu akan diwujudkan untuk mengecilkan penguasaan pembangkang di Parlimen. Namun disebabkan kekangan Perlembagaan strategi mewujudkan kerusi Parlimen baharu tidak akan berlaku buat masa ini. Sekiranya PAS menyokong persempadanan semula Haji Hadi ada sumbangan besar ke atas penipuan dan ketidakadilan pilihanraya.

2. Kerjasama regim-PAS menunggang agenda 'negara Islam' versi Najib-Hadi hanya memperdaya pengundi Melayu. Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat berulang kali mengingatkan partinya sentiasa berwaspada agar tidak dipatuk ular dilubang yang sama dua kali, Haji Haron Din dan Haji Hadi tidak mengendahkannya. 'Istiqamah dalam perjuangan' hanya terletak di bahu penyokong buta ketika 'ulama' mencari dan menggunakan jalan pintas untuk berkuasa (baca memenuhi matlamat peribadi) dan mencari 'syurga'.

3. Api perkauman kini disemarakkan dengan hebat ketika pemimpin regim bercium pipi dan berpeluk mesra dengan saudagar Cina dan India. Seluruh jentera kerajaan digunakan untuk melaga-lagakan kaum secara hipokrit. Rakyat di bawah diasuh bercakaran sedang pemimpin Melayu beragama Islam (tidak terkecuali sebahagian dari PAS) tidur sebantal dengan kafir.

Perkauman senjata terbaik mereka kekal berkuasa. Dahulu regim melalui media dan agen yang dikawalnya, kini giliran PAS menghasut dan mewujudkan permusuhan bukan sahaja ke atas kaum malah agama. Sekiranya rusuhan kaum dan agama berlaku dalam masyarakat majmuk Malaysia Haji Hadi ada sumbangan besar ke atas kehancuran negara.

4. SPR, SPRM, PDRM dan Kehakiman dirantai lebih hebat selepas ini. Penjawat awam yang jujur dan setia kepada pertanggungjawaban dipindah, dibersara awal, diberhentikan, diugut dan paling malang ditamatkan riwayat. Tujuannya tidak lain menghalang mereka untuk terus beramanah. Yang tinggal adalah si dungu dan jelak yang tidak mampu berfikir kesan baik buruk tindakan dengan mengia dan melaksanakan segala suruhan demi habuan dunia yang sementara.

5. Hutang negara membarah ke tahap malignant. Najib terus meminjam dan menggunakannya sebagai dedak ditabur kepada pengikut setia, penagih dedak dan warga terdesak. Regim mengekalkan budaya meminjam dan berbelanja di luar kemampuan dan menjadikan negara 'the next Greece'. Ekonomi negara akan hancur dan bebannya terpaksa ditanggung rakyat hingga ke anak cucu. Sungguhpon begitu regim kekal di kerusi kuasa kerana rakyat tiada cara lain untuk menukar kerajaan melainkan melalui pilihanraya atau keganasan. Sekiranya PAS merasakan strategi ekonomi Regim ini adalah yang terbaik sepertimana mereka memuji Belanjawan 2016 dan mempertahankan kerosakkan fiskal yang dimulakan Najib, Haji Hadi dan UMNO ada sumbangan besar ke atas kemuflisan dan penjajahan semula kuasa asing ke atas negara.

6. Regim beroleh semula majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Mereka akan lebih berkuasa dengan meminda Perlembagaan dan mewujudkan lebih banyak undang-undang draconian. Ianya tiada lain untuk memeras dan menundukkan penentang mereka.

Mewujudkan pertandingan 3 penjuru hanya memecahkan undi pembangkang dan ia terbukti kaedah terbaik memenangkan regim. Kalah pilihanraya tidak semestinya kalah merebut kuasa, pemimpin PAS akan diberi akses melalui pintu belakang. Belumpon PRU sudah ada pemimpinnya mendapat habuan jawatan. Sekiranya regim mendapat suara besar di Parlimen Haji Hadi ada sumbangan besar ke atas kerosakkan sistem semak dan imbang negara.

7. Pengaruh Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yasin dan Muhkriz Mahathir makin pudar. Mereka bukan sahaja berdepan kemerosotan sokongan Melayu malah kurang berpengaruh di peringkat antarabangsa. Kecuali Dr Mahathir, penentang Najib yang lain tampak tidak konsisten dalam perjuangan mereka. Setuju ataupon tidak kekuatan mereka akan membesar dan menguat hanya sekiranya bergabung dengan Singa Renaissance Asia Anwar Ibrahim. Persoalannya sanggupkah Dr Mahathir memulakannya dengan mengakui kesilapan tahun 1998? Sanggupkah Dr Mahathir meminggirkan Daim Zainuddin demi Anwar?

Tidak cukup sekadar mengatakan tiada permusuhan antara mereka, endorsmen Anwar penganti terbaik Najib adalah kunci. Kelangsungan politik Najib dan regim bergantung kepada langkah terakhir Dr Mahathir. Tun tahu kaedahnya cuma beliau masih berat untuk mengakui dan melakukannya.

No comments:

Post a Comment